Latihan Kuasa Tembakan (LKT 2017) Uji Kehebatan Aset TDM

Latihan Kuasa Tembakan (LKT 2017) Uji Kehebatan Aset TDM

25 Mei 2017

Latihan Kuasa Tembakan 2017 (all photos : BTDM)

Gemas ‘dibedil’

Gemas: Bagaikan berada di medan perang sebenar apabila tembakan mortar dan dentuman meriam bertubi-tubi membedil Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin Gemas, di sini.

Gegaran dirasai cukup membuat kumpulan petugas media terpegun sepanjang menyertai Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2017 oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Bunyi letupan kuat memaksa peserta menggunakan penutup telinga bagi melindungi gegendang daripada cedera.

Bagaimanapun perkara itu tidak mematahkan semangat pengunjung yang hadir untuk melihat lebih dekat aset pasukan Mekanise dan Persenjataan Infantri milik Tentera Darat (TD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti kereta perisai, kereta kebal, helikopter dan pesawat tempur.


Lebih menguja apabila pengunjung dapat melihat keberkesanan aset ATM menggunakan peralatan persenjataan dalam mengatur serangan dari darat dan udara dengan melakukan tembakan tepat ke arah lokasi sasaran.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, latihan itu dikenali sebagai Demonstrasi Kuasa Tembakan (DKT) dan diadakan sebagai aktiviti tahunan bertujuan memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) kepada kuasa tembakan.


Katanya, penyertaan KPSM tahun ini membabitkan 165 siswa termasuk 45 penuntut dari luar negara.

“Siswa tempatan membabitkan 78 pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM), 20 pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 20 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dua pegawai dari agensi penguatkuasaan lain membabit Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


“Kursus ini turut disertai 45 penuntut dari 28 negara antaranya Australia, Bangladesh, China, Fiji, India, Indonesia, Jordan, Labonan, Meldives, Myanmar, Nepal, New Zealand, Oman, Pakistan, Thailand, Sri Lanka dan Arab Saudi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Latihan Kuasa Tembakan 2017, di sini, kelmarin.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Wilayah Udara Satu TUDM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Faudzi Ahmad.


Mengulas mengenai latihan itu, Zulkiple berkata, ia diadakan membabitkan dua segmen iaitu Segmen Dinamik dan Pameran Statik serta Segmen Tembakan Tidak Langsung.

Katanya, objektif latihan diadakan untuk mempamerkan keupayaan kuasa tembakan dan impak ke atas sasaran sistem persenjataan di dalam inventori TDM termasuk keupayaan pesawat TUDM.


“Ia membabitkan 1,700 pegawai dan anggota tentera dengan aset ketenteraan seperti kenderaan berperisai seperti AV8 GEMPITA, ADNAN, kereta kebal PT91M Pendekar 125mm, meriam 105mm PH L5, Meriam 155mm G5 MK III serta aset udara antaranya Helikopter Agusta, Nuri, pesawat Sukhoi SU-30MKM FA 18D Hornet dan Hawk 208.

“Latihan ini juga secara tidak langsung memberi peluang anggota menggunakan aset terbabit bagi memahirkan diri serta menentukan keberkesanan senjata berikutan ia memberi kesan besar dalam pertempuran,” katanya.


Katanya, dia berpuas hati dengan kecekapan dan kemahiran yang dipamerkan pegawai serta anggota menerusi latihan berkenaan.

Menurutnya, kelainan pada latihan tahun ini adalah penggunaan senjata baharu iaitu Agusta-7.62mm Gatling Gun M 134D.


“Senjata ini digunakan untuk menembak dari atas helikopter Agusta. Kita dapat lihat keberkesanan senjata terbabit ketika digunakan.


“Selain itu, kita lihat keberkesanan kenderaan berperisai AV8 GEMPITA yang diterima ATM sejak 2014 dan kita sangat berpuas hati melihat keupayaan kenderaan ini,” katanya.

(Harian Metro)

administrator
Menyebarkan berita berita <a><b>Militer Indonesia</b></a> dari media media mainstream Asia dan Indonesia. Mendambakan Kekuatan Militer Indonesia menjadi salah satu yang disegani kembali di kawasan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *