27 Desember 2016
KD Perdana FAC-M (photo : Malaysian Defence)
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang giat menggantikan beberapa kapal lama yang berusia hampir 40 tahun sebagai langkah transformasi pasukan keselamatan berkenaan pada tahun depan.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kapal-kapal lama yang memerlukan kos perbelanjaan dan selenggaraan tinggi akan dilupuskan untuk membawa masuk kapal baharu.
Beliau berkata, langkah pertama yang telah diambil TLDM adalah melupuskan kapal yang telah berusia hampir 40 tahun di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
“Langkah ini merupakan titik permulaan untuk penggantian kapal lama yang tidak dapat memenuhi keperluan operasi serta memerlukan kos senggaraan dan pembaikan yang tinggi pada ketika ini.
“Insya-Allah, pada tahun depan beberapa lagi kapal akan dilucutkan tauliah secara berperingkat-peringkat bagi memberi peluang kapal baharu yang telah dikenal pasti dari China baru-baru ini dan kita harap perkara ini (kapal baharu) akan dapat dimeterai dengan segera pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai TLDM di KD Sri Gombak di sini hari ini.
Seramai 12 pegawai TLDM telah dinaikkan pangkat dalam majlis tersebut.
Sementara itu, ketika berucap dalam majlis tersebut, Ahmad Kamarulzaman mengingatkan anggota TLDM agar sentiasa bersiap siaga dengan latihan serta maklumat yang cukup bagi berhadapan dengan cabaran pada masa ini.
Beliau berkata, setiap anggota TLDM perlu mengukuhkan tahap pendidikan agar mereka mendapat maklumat yang tepat dalam pelbagai isu agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur negatif dari luar.
“Kita perlu menerima hakikat ancaman dari luar ini adalah benar dan jika setiap anggota dilengkapkan dengan maklumat tepat mereka tidak akan mudah terpengaruh degan dakyah-dakyah negatif dari luar,” jelasnya.
(Utusan)