29 April 2017
Pangkalan Angkatan Laut Malaysia (image : Wiki)
KOTA KINABALU – Pelancaran Penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur dan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilihat sebagai satu keperluan penting dan kritikal bagi memastikan kedaulatan di kawasan perairan negara sentiasa terpelihara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penubuhan itu juga sejajar dengan pelaksanaan teras hala tuju kementeriannya yang menekankan aspek kesiapsiagaan serta keselamatan negara berada pada tahap tertinggi.
“Sebelum ini, penugasan operasi di kawasan perairan Semenanjung, Sabah dan Sarawak hanya dilaksanakan serta dipantau di Markas Pemerintahan Armada yang berpangkalan di TLDM Lumut, Perak (sekarang Markas Pemerintahan Armada Barat).
“Melalui pelaksanaan sistem pemerintahan dua wilayah ini, penugasan operasi di perairan Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan di Markas Pemerintahan Armada Timur yang berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar di sini manakala operasi di kawasan perairan Semenanjung kekal di Pangkalan TLDM Lumut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Markas Pemerintahan Armada Timur dan Barat serta Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-83 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sepanggar, di sini hari ini.
Pangkalan Angkatan Udara Malaysia (image : Wiki)
Hishammuddin yang juga Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas berkata, penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur dan Armada Barat itu turut sejajar dengan Pelan Transformasi 15 kelima yang dilaksanakan TLDM ketika ini.
Ini katanya kerana, selain mengurangkan bilangan pengkelasan kapal daripada 15 kepada lima, TLDM turut merancang penyusunan semula pengurusan organisasi serta aset dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan entiti tersebut.
“Penubuhan markas pemerintahaan ini turut seiring dengan penubuhan Markas Pemerintahan Medan Barat di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan Markas Pemerintahan Medan Timur di Kuching, Sarawak oleh Tentera Darat serta penubuhan Markas Wilayah Udara 1 di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan Markas Wilayah Udara 2 di Labuan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.
(Utusan)