Perjanjian 4 LMS Dimeterai di LIMA 2017

Perjanjian 4 LMS Dimeterai di LIMA 2017

29 Desember 2016

Littoral Mission Ships (image : TLDM)

KUALA LUMPUR  – Perjanjian pembelian empat buah kapal misi pesisir (LMS) membabitkan Malaysia dan China bakal di­meterai pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 di Langkawi, Kedah pada Mac tahun depan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, perjanjian yang membabitkan ke­dua-dua negara tersebut akan di­meterai melalui surat hasrat (LOI).

“Saya dimaklumkan LOI akan ditandatangani sewaktu LIMA 2017 nanti. Saya lihat pembelian kapal ini berjalan lancar mengikut perancangannya demi memantapkan pertahanan perairan negara kita serta mempertingkatkan kuasa armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Bagaimanapun, waktu sebenar pembinaan itu tidak dapat saya nyatakan,” katanya yang ditemui dalam Majlis Penyerahan Rasmi Kalendar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sumbangan Tahunan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) kepada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Pengerusi Pernama, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Terdahulu, Raja Mohamed Affandi turut menerima kalendar 2017 tajaan Pernama dan sumbangan tahunan kepada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak me­ngumumkan pembelian empat buah LMS dari China dengan kos hampir RM1 bilion untuk mening­katkan pertahanan maritim negara.

Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi berkata, pameran LIMA kali ini dijangka mampu menarik lebih ramai penggiat industri pertahanan dari pelbagai negara di samping orang ramai dengan kelainan yang ditampilkan.

“LIMA menunjukkan perkembangan positif kali ini dengan penyertaan negara seperti Rusia, Ukraine dan Belanda. Ia secara tidak langsung dapat menjana pendapatan negara terutama aspek pelancongan dan perniagaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, Pernama berjaya mencatatkan keuntungan hasil jualan hampir RM390 juta sepanjang tahun 2016 yang me­nyaksikan peningkatan lebih 30 peratus berbanding tahun lalu.

“Ia merupakan satu pencapai­an amat memberangsangkan terutama dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar dan berharap mereka terus memberi sokongan kepada kami,” katanya.

(Utusan)

administrator
Menyebarkan berita berita <a><b>Militer Indonesia</b></a> dari media media mainstream Asia dan Indonesia. Mendambakan Kekuatan Militer Indonesia menjadi salah satu yang disegani kembali di kawasan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *